Bahasa Malaysia Segment

Dunia Islam perlukan revolusi politik

Pada hari Isnin lepas, bersamaan dengan 12 Rabiul Awal Tahun Gajah [8 Jun 570 AD], umat Islam di seluruh dunia telah menyambut perayaan Maulidur Rasul. Pelbagai aktiviti berkaitan keagamaan dianjurkan. Ini termasuklah perarakan membawa panji-panji Islam, ceramah keagamaan, syair dan muzik nasyid bagi menzahirkan kecintaan yang mendalam terhadap Nabi Muhammad SAW.

Tidak terlepas juga, pemerintah Muslim serata dunia termasuk ahli-ahli politik mereka yang menggunakan sambutan Maulidur Rasul bagi menunjukkan komitmen terhadap agama.

Ironisnya – kebanyakan dari golongan ini juga yang telah banyak menyalahi ajaran Nabi Muhammad SAW.

Jika diperincikan, Rasulullah SAW diutus oleh Allah SWT sebagai pembawa rahmat kepada sekian alam. Bukan hanya terhad kepada manusia, tetapi rahmat ini juga merangkumi kepada haiwan, mikroorganisma serta alam semulajadi.

Dalam masa yang sama, Allah SWT menurunkan qalamnya iaitu kitab suci dan syumul Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi sekalian manusia untuk hidup bersama secara harmoni selain sebagai persediaan menuju ke negeri akhirat.

Sejak lebih dari 1400 ribu tahun, mesej revolusi Al-Quran yang utama iaitu La Ilaha Illallah – (tidak ada Tuhan melainkan Allah) telah bergema di seluruh pelusuk dunia. Ia menanamkan rasa takut di dalam hati para penzalim serta penindas masyarakat.

Al-Quran menetapkan bahawa sebuah masyarakat harus dibina di-atas dasar ketakwaan terhadap Allah SWT serta kebebasan dan keadilan sosial berdasarkan syariah. Al-Quran juga menyarankan umat Islam menjadi model terbaik di dunia dengan menggalakan amal ma’ruf serta mencegah nahi mungkar.

Dalam tempoh yang singkat, seruan syumul Islam ini tersebar ke empat penjuru dunia dan telah menghasilkan beberapa tamadun besar yang sehingga kini pengaruh mereka masih kekal dan dihormati.

Namun secara realiti, apakah keadaan umat Islam pada hari ini?

Apa yang berlaku pada hari ini adalah pergolakan dasyat terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Pembunuhan sesama umat Nabi Muhammad SAW dengan bantuan musuh-musuh Islam yang menentang kebangkitan Islam sedang giat direncanakan.

Contoh terdekat adalah di Syria. Rejim Baathist yang pimpinan Bashar Assad dan kumpulan pelampau Takfiris telah membunuh lebih dari 400,000 rakyat Syria. Seramai 4.8 juta rakyat Syria menjadi pelarian manakala 6.6 juta lagi menjadi pelarian akibat peperangan ini. Jumlah ini adalah daripada jumlah keseluruhan penduduk Syria yang seramai lebih 20 juta.

Ini secara langsung bermaksud, separuh dari jumlah penduduk Syria itu sendiri telah menjadi pelarian.

Ironinya, minggu lepas TV Rusia pula memutar belit kemusnahan yang sedang berlaku sebagai peperangan membebaskan Syria daripada pengganas.

Dengan bakal kejatuhan Aleppo ke tangan diktator Baathist pimpinan Assad, masa depan Syria kini berhadapan dengan situasi yang kelam.

Dilema seumpama sedang melanda Yaman.

Sejak Mac tahun 2015, tentera bersekutu Arab, disokong oleh Amerika Syarikat dan Britain, telah mengebom kawasan berpenduduk padat di Negara itu.

Pengeboman tanpa henti ini telah mengakibatkan kemusnahan pusat perubatan, sekolah, masjid, kilang-kilang dan rumah-rumah awam.

Sejumlah 10,000 orang telah terbunuh dan lebih dari 3 juta rakyat Yaman telah dihalau dari rumah mereka. Pengeboman dan sekatan di sekitar laut Yaman mengakibatkan bencana kemanusiaan yang sangat membimbangkan di rantau tersebut.

Laporan UNICEF yang diterbitkan pada hari Isnin lepas, men -anggarkan bahawa bagi setiap sepuluh minit seorang kanak-kanak Yaman akan mati akibat kekurangan zat makanan, penyakit cirit-birit atau jangkitan saluran pernafasan. Manakala, lebih daripada 400,000 kanak-kanak berhadapan dengan risiko kebuluran, dengan hampir 2.2 juta memerlukan rawatan segera.

Dalam masa yang sama, dianggarkan sebanyak 18.8 juta orang yang lain memerlukan pelbagai jenis bantuan atau perlindungan bagi memenuhi keperluan asas mereka.

Kita sedia maklum bahawa, sebelum ini Yaman adalah salah satu negara termiskin dengan jumlah penduduk sekitar 27 juta orang.

Di Iraq pula, penaklukan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara tersebut telah mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan kepada rakyat Iraq yang sukar diperbaiki.

Ia bukan sahaja memusnahkan infrastruktur sosio-ekonomi Iraq, tetapi, apa yang lebih parah lagi ialah, ia telah mewujudkan persengketaan yang tidak berkesudahan di-antara puak Shiah dan Sunni.

Fenomena perpecahan ini juga telah mula berakar umbi di semua institusi negara tersebut. Ini termasuk badan kehakiman, tentera, polis dan badan pentadbiran awam Irak.

Ia menghancurkan fabrik sosial Iraq selain menyemarakan identiti mahzab melampau yang mengatasi identiti kebangsaan.

Kerajaan baru Irak juga telah gagal menyatukan rakyat dan merapatkan jurang kemiskinan yang dialami oleh masyarakat. Sebaliknya, rasuah pula yang makin berleluasa di dalam pentadbiran kerajaan.

Pihak PBB melaporkan 10 juta orang rakyat Irak memerlukan bantuan kemanusiaan dan 3.1 juta lagi adalah pelarian daripada keseluruhan penduduk yang diangarkan berjumlah 33 juta.

Selain itu, Iraq telah membentuk satu pakatan dengan imperialis Amerika Syarikat bagi membebaskan Mosul dari Daesh, produk pendudukan AS, Assad dan Maliki rejim, tetapi enggan penyertaan oleh Turki, sebuah negara Islam, dalam operasi itu.

Manakala, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mempromosikan revolusi kontra di dunia Arab untuk membendung kebangkitan Islam di kalangan rakyat biasa.

Mereka membiayai rampasan kuasa tentera di Mesir serta menggulingkan Presiden Morsi, Presiden Mesir pertama yang dipilih menerusi pilihan raya yang adil dan bebas yang diakui oleh masyarakat antarabangsa .

Dalam perkembangan yang sama, Bashar Assad dengan penuh angkuh menyambut baik rampasan kuasa di Mesir dengan menyifatkan insiden tersebut sebagai tanda pergerakan politik Islam bakal lenyap.

Ingin di-ingatkan bahawa, Presiden Al- Sisi Mesir dan pemimpin-pemimpin Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu telah secara tidak langsung bersekongkol dengan Israel bagi melemahkan perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman Zionis.

Niat ini jelas diperakui oleh salah-satu laman sesawang Neo-Conservative AS-Israel –National Interest (pada 5 Januari 2016) yang menyatakan bahawa:

“Walaupun Israel dan GCC tidak mempunyai hubungan diplomatik penuh, monarki di Teluk Arab telah mengekalkan hubungan secara tidak rasmi dengan Israel sejak beberapa dekad.

Arab Saudi dan Israel telah menubuhkan saluran komunikasi pintu belakang di sepanjang tempoh Sheikh Kamal Adham menjadi ketua Ketua Direktorat Perisikan Arab Saudi (1965-1979) “.

Wartawan Zena Tahhan dari Al-Jazeera pula menyifatkan hubungan istimewa di antara Mesir dan Israel di bawah rejim Al-Sisi, telah melalui fasa dan perikatan kukuh sejak ia dimeterai empat dekad yang lalu oleh Sadat.

Selain itu, Islam dan penganutnya di kebanyakan negara berhadapan dengan isu diskriminasi, keganasan dan kebencian.

Di Myanmar, pelampau Buddha, dengan sokongan tentera, menjalankan pembunuhan secara beramai-ramai terhadap etnik Rohingya. Kita pula sedar bahawa masyarakat antarabangsa tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan pembunuhan terhadap wanita, kanak-kanak dan serta rakyat biasa.

Di India, penganut fanatik Hindutva menyebarkan kebencian terhadap umat Islam, menyerang dan membunuh etnik minoriti. Fenomena Islamofobia pula sedang melanda di Amerika Syarikat dan Eropah. Wanita yang memakai hijab dan lelaki yang menyimpan janggut, dihina, diejek dan diserang secara fizikal.

Dan apa yang lebih memeritkan lagi adalah agama Islam dan jujungan kita Nabi Muhammad SAW yang sedang dihina dan dicemuh setiap hari di dalam media sosial secara berleluasa.

Malang sekali, sehingga ke saat ini, tiada kepimpinan Islam yang tegas lagi kuat tampil bagi menangani pelbagai tohmahan yang sedang melanda Umat Islam sejagat.

Malah apa yang terjadi adalah, kerajaan-kerajaan Muslim sedunia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang hanya sekadar mengambil-maklum, memeluk tubuh sendiri dan bergantung harap kepada Negara-negara bukan Islam seperti Rusia, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan konflik di benua mereka.

Mereka juga lemah serta tidak dapat mempertahankan rakyat Palestin terhadap kerakusan Zionis serta pencabulan hak asasi yang dilakukan.

Umum juga sedia maklum bahawa Baitulmuqaddis, di mana terletaknya masjid ketiga paling suci iaitu Masjid Al-Aqsa, sedang dirobohkan secara senyap oleh pihak Yahudi.

Walaupun perkara ini diketahui, tidak ada sebarang tindakan berani yang berkesan dari pemimpin Islam bagi menanggani rencana jahat ini.

Ini adalah tidak lain kerana, pemimpin-pemimpin di negeri-negeri Muslim itu sendiri yang muflis legitimasi politik akibat dari pemerintahan zalim dan penindasan yang di-benci oleh rakyat mereka.

Mereka menggunakan tentera, pasukan keselamatan serta media boneka bagi memperbodohkan selain dari menundukkan rakyat marhain.

Sayugia itu, revolusi politik bagi membawa kepada penggulingan diktator serta monarki lapuk yang bersubahat dengan musuh-musuh Islam adalah sangat diperlukan.

Kita juga perlu membina jaringan organisasi masyarakat sivil (CSO) di dunia Islam bagi meningkatkan kesedaran umat yang secara langsung akan juga menghasilkan transformasi Islam di negara-negara Muslim selain dari bertindak balas terhadap cabaran dan ancaman yang datang dari kuasa-kuasa hegemoni .

Nukilan :  Abdul Qadir

Citizens International, Penang